Rabu, 12 September 2007

Saya tak pernah menyesal kahwin seorang pejuang: Zumrah

Saya tak pernah menyesal kahwin seorang pejuang: Zumrah

Ustaz Dr Badrulamin Bahron, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi keADILan, adalah salah-seorang tahanan ISA di Kamunting. Ustaz Badrulamin ditangkap pada pukul 1.30 pagi 20 April 2001 dan setelah tamat tempoh soal-siasat 60 hari oleh pihak polis Cawangan Khas (SB), Kementerian Dalam Negeri (KDN) memerintahkan beliau ditahan selama dua tahun di Kem Tahanan Kamunting.

Wartawan Seruan keADILan (SK), Faisal Mustaffa, telah menemui isterinya, Puan Zumrah Husni yang menceritakan pengalaman Ustaz Badrulamin menjalani ibadah puasa dan sambutan Hari Raya baru-baru ini.

SK: Apakah hari-hari yang dibenarkan oleh pihak berkuasa kem untuk keluarga melawat tahanan pada Hari Raya?

Zumrah: Keluarga tahanan diberikan kelonggaran melawat tahanan-tahanan di Kamunting pada Hari Raya pertama hingga Hari Raya ketiga. Dalam waktu-waktu biasa, kami tidak dibenarkan melawat tahanan begitu kerap.

Kami sekeluarga membuat keputusan untuk melawat Ustaz pada hari kedua Hari Raya iaitu pada hari Sabtu, 7 Disember 2002. Saya sudah pun beritahu Ustaz awal lagi bahawa kami sekeluarga tidak dapat melawat beliau pada hari Raya Pertama.

Lagi pun, kami baru sahaja melawat beliau pada hari Rabu sebelum itu (4 Disember 2002). Hari tersebut ialah hari jadi Ustaz Badrul Amin.

SK: Bagaimana lawatan pada bulan puasa?

Zumrah: Sebenarnya saya hanya berkesempatan melawatnya dua kali sahaja dalam bulan puasa. Saya sudah pun memberitahu Ustaz atas masalah saya yang mempunyai masa yang terhad. Saya pula mengharapkan adik beradik saya untuk membawa saya ke Taiping.

Perjalanan dari Selangor ke Taiping, Perak bukannya dekat. Ia mengambil masa selama 4 jam. Lagipun, saya membawa anak saya yang kecil, Ain Najda yang baru sahaja berumur 4 tahun.

Selain daripada itu, kami tidak dibenarkan melawat lama semasa bulan puasa.

SK: Apakah aktiviti yang dijalankan oleh Ustaz Badrul semasa bulan puasa?

Zumrah: Seperti umat Islam yang lain, Ustaz bertadarus pada siang hari dan bersembahyang tarawih. Oleh kerana tidak banyak perkara yang boleh dijalankan, Ustaz dapat khatam al-Quran sebanyak tiga kali.

Di dalam tahanan, tidak ada majlis sembahyang tarawih beramai-ramai. Oleh yang demikian, Ustaz bersama rakan-rakan yang lain dalam satu sel bersembahyang bersama-sama, termasuklah Saari Sungib, Lokman Noor Adam dan Hishamuddin Rais.

Menurut Ustaz Badrul, mereka bersahur awal, seawal 2 pagi. Ini adalah kerana tukang masak yang ada perlu rehat yang cukup. Tukang masak di kem tahanan Kamunting ialah tahanan itu sendiri yang terdiri daripada mereka yang dituduh terbabit dalam kumpulan “al-Maunah”.

Makanan di situ memanglah tidak menyelerakan. Makanan yang disediakan tidak bersih. Menurut Ustaz, sayur sawi dan bayam yang ada untuk hidangan tidak dibasuh. Selalunya setiap kali mengunyah memang terasa pasir.

Tahanan-tahanan yang lain bukannya tidak mahu membuat laporan. Mereka sebenarnya takut untuk berbuat demikian kerana sekiranya mereka ini ‘membuka mulut’, kemungkinan besar jangkamasa tahanan mereka akan disambung lebih lama.

SK: Bagaimana suasana pada bersama keluarga pada Hari Raya Kedua itu?

Zumrah: Pada hari Raya Kedua, keadaan di kem tahanan lebih meriah. Kami dibenarkan berjumpa selama tiga jam. Pada waktu biasa kami hanya dibenarkan berjumpa selama 45 minit sahaja. Masa 45 minit yang diperuntukkan hanya bagi tahanan reformasi.

Semasa musim raya, khemah telah disediakan oleh pihak kem kepada para tahanan dengan meja panjang. Suasana lebih meriah apabila semua ahli keluarga para tahanan reformasi berkumpul di bawah satu khemah.

Ini sungguh berbeza dengan keadaan lawatan biasa bila mana kami diasingkan dengan jaring dan terpaksa berbual pada satu jarak yang tidak menyenangkan.

SK: Apa buah tangan yang dibawa untuk Ustaz?

Zumrah: Seperti ahli keluarga yang lain, saya bawa nasi himpit yang dimakan bersama tumis udang dan sambal sotong. Makanan istimewa yang dikirim oleh ibu Ustaz ialah udang pepik dari Sabah. Makanan tersebut merupakan makanan kegemaran Ustaz terutama semasa Hari Raya.

Ustaz Badrul juga selalu memesan buku dan bahan bacaan. Yang paling digemari oleh beliau ialah yang berkenaan dengan memancing ikan selain daripada yang berunsurkan perjuangan terutama sekali buku yang diterbitkan di Indonesia.

Tetapi “buah tangan” yang lebih istimewa kami bawa ialah seluruh ahli keluarga yang dapat berkumpul.

SK: Ada Ustaz cerita tentang pengalaman beliau pada Hari Raya Pertama?

Zumrah: Sudah tentu. Ustaz dan rakan-rakan sebiliknya tidak hadir untuk bersembahyang solat sunat Hari Raya. Mereka memboikot majlis itu. Ini adalah disebabkan mereka membantah tindakan pihak penguatkuasa kem yang tidak membenarkan mereka bersembahyang Jumaat. Ustaz kata, mengapa mereka perlu menghadiri satu majlis yang hukumnya sunat apabila perkara yang wajib tidak dibenarkan?

(Editor: Tahanan reformasi ISA telah bersembahyang solat sunat Aidilfitri di blok sendiri yang diimamkan oleh Ustaz Badrulamin.)

SK: Bagaimana keadaan Ustaz semasa menerima kunjungan keluarga?

Zumrah: Gembira. Tetapi sebagai isteri, saya faham daripada riak mukanya. Di hadapan anak-anak, Ustaz Badrul tidak mahu menunjukkan perasaan sebenarnya. Beliau sebenarnya berolok-olok gembira.

Kesihatannya tidak begitu sempurna. Badannya kelihatan susut.

SK: Bagaimana perasaan puan sendiri?

Zumrah: Saya sudah bersedia dari awal lagi. Saya tidak pernah menyesal mengahwini seorang pejuang keadilan. Kekuatan saya perolehi dari Ustaz sendiri, keluarga saya dan tidak ketinggalan keluarga mertua. Mereka banyak memberi dorongan moral kepada saya. Saya mengakui, sekuat mana pun saya, saya hanya seorang perempuan.

Tetapi saya selalu memberitahu diri saya sendiri bahawa saya perlu belajar dari apa yang berlaku. Tarbiah ini telah diasuh sejak saya berada di dalam Abim lagi.

Saya juga telah berikrar apabila berkahwin dengan Ustaz Badrul Amin. Saya faham bukannya mudah menjadi seorang pendakwah. Banyak rintangannya. Berjaya atau pun tidak perjuangan ini bergantung kepada diri sendiri. Oleh itu, saya perlu belajar dari kepayahan. Ini sebahagian daripada dugaan Tuhan.

SK: Bagaimana pula dengan anak-anak?

Zumrah: Amin Farhan dan Amin Rafiq baru sahaja selesai peperiksaan SPM. Mereka tidak mempunyai banyak peluang untuk melawat bapanya di Kamunting. Semasa berjumpa pada Hari Raya Kedua itu, Ustaz bertanya mengenai peperiksaan yang baru mereka hadapi.

Bapanya juga memberi nasihat agar luangkan masa cuti menunggu keputusan dengan berguna. Mereka akan mengambil kursus Bahasa Arab pertuturan di bawah bimbingan Dr Ali Baharom. Di Sekolah Agama Darul Anuar, mereka memang belajar Bahasa Arab tetapi kelas yang dicadangkan oleh bapanya ini akan memperkuatkan lagi kemahiran mereka dalam menguasai bahasa al-Quran.



Bapa mereka juga selalu berpesan agar mereka dapat meneruskan perjuangannya.

Waktu lawatan itu, anaknya yang bungsu, Ain Najda pula berada pada riba beliau setiap masa. Jida (panggilan manja Ain Najda) memberitahu bapanya bahawa sungguhpun dia telah berdoa setiap hari sepertimana yang disuruh oleh bapanya, tetapi Jida bertanya kepada bapanya mengapa dia masih berada dalam tahanan?

Ustaz tersenyum dan berbisik kepada Jida supaya berdoa dengan lebih panjang lagi.

SK ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Puan Zumrah sekeluarga kerana sudi meluangkan masa untuk ditemubual. SK berdoa agar Puan Zumrah sekeluarga sentiasa tabah dalam menghadapi perjuangan menegakkan keadilan dan menentang kezaliman.